Siti Aminah adalah wanita yang tabah dalam mengharungi cabaran hidup biarpun kehilangan suami pada saat beliau sedang sarat mengandung. Ketabahannya sebagai ibu tunggal dapat dilihat apabila beliau tidak berkahwin lain selepas pemergian suaminya iaitu Abdullah bin Abdul Mutalib. Beliau begitu mementingkan kesejahteraan anaknya, iaitu Muhammad dengan memberikan yang terbaik buatnya. Sebagai ibu, Aminah begitu mementingkan cara didikan kepada anaknya demi memastikan anaknya menjadi manusia yang memiliki sahsiah yang terpuji. Ibu yang melahirkan Nabi Muhammad, nabi junjungan kita bukanlah calang-calang orangnya. Beliau mempunyai kekuatan jiwa yang hebat dalam diri kerana mampu mengawal kesedihan emosi walaupun kehilangan orang yang tersayang.
Teruna dan Dara Pekerti Mulia...
Aminah binti Abdul Wahab bin Abdul Manaf bin Zuhrah adalah gadis yang memiliki rupa paras yang cantik dalam kalangan gadis Arab pada waktu itu. Manakala Abdullah bin Abdul Mutalib adalah sebaik-baik pemuda yang mempunyai budi pekerti yang luhur dalam kalangan pemuda yang Quraisy sehinggakan dirinya sentiasa menjadi rebutan. Pasangan Abdullah dan Aminah dikahwinkan ketika mereka berdua berusia 20 tahun. Mereka bercinta selepas dikahwinkan. Namun selepas tiga bulan usia perkahwinan mereka, Abdullah terpaksa meninggalkan Aminah bagi membawa barang-barang perniagaan ke negeri Syam yang kini dikenali sebagai Syria.